Friday, 11 November 2011

Persoal Ibadah Korban Boleh Sentuh Sensitiviti Umat Islam: Muhyiddin




KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Tindakan sebuah NGO bukan Islam yang mahu ibadah korban tidak dilaksanakan di kawasan sekolah dan tempat awam tidak sepatutnya ditimbulkan kerana ia boleh menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini sedangkan rakyat pelbagai agama sudah lama hidup secara toleransi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak fikir harus pandangan itu dikemukakan, mungkin ada salah faham. Ia mungkin (boleh) menyentuh sensitiviti amalan beragama. Di Malaysia ini, sejak zaman-berzaman kita telah lakukan, korban itu adalah tuntutan mengikut agama Islam.
"Ibadah korban dilakukan dengan cara dan peraturan dengan pekeliling oleh Jabatan Veterinar yang memerlukan kebersihan kawasan pelaksanaan korban dijaga untuk membolehkan daging-daging korban diagihkan kepada fakir miskin supaya selamat dimakan," kata Timbalan Perdana Menteri kepada pemberita selepas berdialog secara terbuka dengan 50 orang graduan yang terpilih menyertai program "Teach for Malaysia" di sini Selasa.

Muhyiddin diminta mengulas kenyataan Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) pada Jumaat lepas yang mahu amalan menyembelih lembu tidak diteruskan di kawasan sebegitu kerana mungkin menyentuh sensitiviti mereka yang beragama Hindu yang menganggap lembu sebagai satu binatang yang suci.

"Saya berharap janganlah menyentuh hal-hal sebegini, apalagi pihak itu yang bukan beragama Islam kerana mungkin mereka tidak memahami atau sengaja dibuat begitu supaya timbul masalah baru. Di Malaysia ini janganlah menambah tokok lagi masalah-masalah sebegitu," katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata ibadah yang dilakukan perlu mendapat kebenaran pihak yang menguruskan kawasan itu sebelum boleh dilaksanakan.

"Pihak yang melaksanakan korban itu pula mesti mendapatkan izin dahulu, pihak pengurusan masjid benarkan ia boleh dilakukan itu sudah perkara biasa sejak dulu lagi.

"Orang Hindu di Malaysia ini sudah faham, dalam surat khabar dan televisyen sudah dipaparkan mereka sudah faham amalan itu. Kita di Malaysia sudah mengamalkan amalan saling menghormati, kenapa hal sebegini dibangkitkan saya tidak fikir ia perlu," kata Muhyiddin.

-Bernama-



Di samping itu juga Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Sg Pinang juga telah membuat kenyataan media seperti berikut:


KENYATAAN MEDIA
GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS) CAWANGAN SUNGAI PINANG

7 NOVEMBER 2011 / 11 ZULHIJJAH 1432

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Sungai Pinang sangat kesal dengan kenyataan bersifat provokasi, biadap, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Majlis Perundingan bagi Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang menggesa supaya amalan menyembelih lembu-lembu qurban tidak diteruskan di perkarangan sekolah dan tempat-tempat awam atas alasan tempat awam dan sekolah tiada kaitan dengan masyarakat Islam dan kegiatan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi GPMS Sg. Pinang, gesaan yang dibuat oleh MCCBCHST dan alasan yang dikemukakan adalah sangat tidak munasabah dan secara jelas cuba membangkit kemarahan serta mencetuskan perbalahan antara ummat Islam dengan penganut-penganut agama lain di negara ini.

Sejak turun-temurun lagi, apabila tiba Hari Raya Aidiladha, ummat Islam di negara ini akan melaksanakan ibadah qurban di kasawan masjid, surau, dewan masyarakat, padang awam atau kawasan-kawasan yang majoritinya didiami oleh orang-orang Islam. Kadangkala ada juga yang melakukan aktiviti penyembelihan di kawasan padang sekolah jika dianjurkan oleh pihak sekolah atau oleh kerana tiada tempat yang sesuai di sekitar kawasan perumahan atau masjid tersebut.

Namun berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh GPMS Sg. Pinang, ternyata kegiatan penyembelihan haiwan qurban yang dijalankan di sekolah-sekolah adalah sangat sedikit. Jika terdapat aktiviti penyembelihan haiwan qurban yang dijalankan di sekolah-sekolah, ianya membabitkan guru-guru, kakitangan, pelajar dan ibupaba yang bergama Islam dan tiada kaitan dengan penganut-penganut agama lain. GPMS Sg. Pinang berpendirian bahawa dakwaan MCCBCHST yang menuduh ummat Islam tidak sensitif terhadap pelajar-pelajar agama lain tidak timbul sama sekali. Dakwaan MCCBCHST ini adalah sangat tidak bertanggung jawab, bertentangan dengan amalan hidup bertolenransi, berfikiran dangkal dan berniat jahat.

GPMS Sg. Pinang ingin menegaskan bahawa ummat Islam di Malaysia sentiasa sensitif dan bertoleransi dengan penganut-penganut agama lain. MCCBCHST yang sebenarnya perlu sensitif terhadap agama Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan. Tindakan mencampuri hal ehwal agama Islam adalah sangat tidak wajar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta menghina Majlis Raja-raja Melayu.

GPMS Sg. Pinang sangat khuatir sekiranya MCCBCHST terus menerus mengeluarkan kenyataan berniat jahat seperti ini, ia bakal mengundang permasalahan besar antara penganut berbilang agama di negara kita dan mampu mengancam keselamatan dan keharmonian negara. Justeru itu, GPMS Sg. Pinang mununtut agar MCCBCHST meminta maaf secara terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam dan seluruh ummat Islam di Malaysia atas kenyataan provokatif, biadap, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh MCCBCHST. Selaku majlis perundingan antara agama MCCBCHST sepatutnya lebih peka dan memainkan peranan memdidik dan memahamkan masyarakat majmuk di nagara ini agar saling menghormati antara satu agama dengan agama yang lain dan bukannya mencetuskan api perkauman atau ketegangan antara agama.

GPMS Sg. Pinang juga tidak tergak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang serta bertindak balas terhadap MCCBCHST sekiranya pihak MCCBCHST tidak mahu memohon maaf dan masih bersikap angkuh disebalik niat dan agenda jahat mereka.

Azdy Mohd Arshad
Timbalan Yang Di Pertua
GPMS Cawangan Sungai Pinang


- Posted using BlogPress from my iPad

No comments:

Post a Comment