HARIAN METRO
KHAMIS, 16 September 2011
SELEPAS berjaya mencipta nama sebagai pelakon dan pengarah terkenal, anak muda juga bintang popular, Farid Kamil mula mengintai ruang baru dalam kerjayanya yang mampu memberi sesuatu buat peminat dan masyarakat.
Status dan populariti yang melekat padanya tidak terus diperdagangkan dalam industri lakonan semata-mata sebaliknya pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini mula menggunakan pesona itu untuk dijadikan ikon bagi menarik peminat dan golongan muda dalam acara amal anjuran Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga) juga sebuah NGO yang berteraskan Islam, Karnival Zero Rempit.
Karnival Zero Rempit diadakan pada Sabtu ini di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Balik Pulau, Pulau Pinang. Ia adalah acara amal yang menghimpunkan pelbagai aktiviti bagi mengangkat objektif utamanya, memberi kesedaran dan suntikan positif kepada remaja serta golo-ngan belia hari ini.
Farid akan terbabit dalam acara bermotosikal bersama golongan remaja dan belia yang berminat untuk turut sama pada Sabtu ini nanti. Katanya, kehadirannya pada hari itu diharap dapat memancing perhatian orang ramai untuk bersama-sama menyertai acara dan agenda yang bakal dilakukan.
Menyifatkan penganjuran Karnival Zero Rempit sebagai salah satu alternatif terbaik untuk menyuntik elemen positif kepada golongan remaja yang banyak dilaporkan terbabit dalam gejala Mat Rempit dan berlumba motosikal.
“Dengan penganjuran karnival ini bukan bermakna dapat mengurangkan kadar gejala ini sebaliknya saya berpendapat setidak-tidaknya dapat mendekati mereka dan memahami apa yang ingin diperkatakan.
“Saya melihat semuanya dari aspek positif dan sentiasa optimis menghadapi permasalahan ini. Kehadiran saya hanyalah sekadar mengajak mereka bermotosikal bersama pada hari Sabtu nanti namun, semuanya secara bersih dan aman.
“Mereka saya galakkan untuk turut sama berkonvoi dengan iringan anggota polis dan unit keselamatan lain bagi mengang-kat simbolik zero rempit itu. Isu ini begitu serius dan saban hari ada saja laporan yang ditulis di akhbar betapa bahayanya aktiviti yang dilakukan itu.
“Justeru, saya menyeru dan mengajak sesiapa yang berminat untuk turut sama dengan saya bermotosikal pada hari Sabtu ini,” katanya yang mengakui sudah lebih 5,000 penyertaan diterima.
Karnival Zero Rempit pada hari Sabtu ini bermula seawal jam 8 pagi hingga 11 malam. Selain acara bermotosikal bersama Farid Kamil, karnival amal ini turut diwarnai pelbagai pertandingan dan aktiviti lain termasuk pertandingan motosikal tercantik, lumba perlahan basikal, Skip bicycle Drift, karaoke, Battle of The Band, cabutan bertuah dan pelbagai lagi.
Bagi pertandingan karaoke dan Battle Of The Band pula, peserta yang berminat menyertai dan merebut hadiah istimewa hendaklah membawakan lagu bergenre ketuhanan.
Farid yang sebelum ini sinonim dengan gaya lakonan sebagai remaja bermasalah dan penga�rahannya dalam beberapa filem bergenre aksi termasuk Remp-It, Evolusi KL Drift dan Evolusi KL Drift 2 serta filem sulung arahan-nya, V3: Samseng Jalanan dan Kongsi, melihat platfom yang ada padanya sebagai selebriti mampu memberikan ruang terbaik untuk sama-sama membantu memperjuangkan simbolik karnival.
“Saya berterima kasih kepada pihak penganjur dan mereka yang terbabit kerana memberi perhatian kepada kewujudan saya sebagai anak seni. Tidak sekadar berlakon dan berjuang dalam lapangan seni, setidak-tidaknya saya masih punya fungsi dalam acara kebajikan dan amal seperti ini yang mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.
“Jujurnya saya sendiri tidak sabar untuk bermotosikal pada hari Sabtu ini bersama remaja lain dan peminat saya bagi mencapai objektif yang cuba kami kejar ini.
“Insya-Allah jika tepat pada pengarahan objektifnya dan mesej yang cuba disampaikan, Karnival Zero Rempit ini akan meninggalkan kesan dan impak positif kepada masyarakat kelak,” katanya.
Selain bermotosikal, pelakon Lagenda Budak Setan, Anak Halal dan Apokalips turut memberikan ucapan ringkasnya serta sesi beramah mesra dengan peminat yang berkunjung.
Jangan lupa untuk turut sama ke Karnival Zero Rempit pada Sabtu ini, bermula jam 8 pagi di Dewan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Balik Pulau, Pulau Pinang.
Terdapat lebih 30 kiosk diperuntukkan termasuk 10 gerai untuk Jabatan Kerajaan dan selebihnya khas kepada agensi swasta dengan menjual pelbagai barangan dan produk serta kempen-kempen dan pameran menarik buat pengunjung.