Sebelum menguasai Malaya penjajah British terlebih dahulu telah menjajah India. Kompeni Hindia Timur milik penjajah British yang berpangkalan di India ketika itu sangat memerlukan pangkalan-pangkalan yang sesuai di Selat Melaka untuk membolehkannya menjalankan aktiviti perdagangan rempah dan lain-lain dengan negara Asia Tenggara dan Timur Jauh.
Kompeni Hindia Timur telah menghantar Kapten Francis Light yang membawa kapal perang ke Pulau Pinang yang berada di bawah pemerintahan Sultan Kedah dan dengan berbagai tipu helah termasuk ugutan, dia telah memperdayakan baginda sultan. Pihak British dengan licik mempergunakan pertentangan antara sultan dengan musuh-musuh luarnya khususnya Kerajaan Siam untuk memaksa baginda supaya bersetuju mengikat perjanjian dengannya. Mengikut perjanjian itu, British bersetuju memberi bantuan senjata untuk menentang Siam dan musuh-musuh luar lainnya dan membayar $30,000 setahun kepada sultan sebagai pajak bagi mendapatkan Pulau Pinang.
Akan tetapi setelah membuka dan menguasai Pulau Pinang, British bukan saja memungkiri janjinya bahkan telah pergi lebih jauh dari itu. Ia telah mengisytiharkan Pulau Pinang dengan nama “Prince of Wales” pada 11 Ogos 1786 dan memasukkannya ke dalam jajahan takluk British.
Tindakan British yang kurang ajar ini telah membangkitkan kemarahan sultan dan orang-orang Melayu. Pihak sultan telah bersiap-siap untuk menyerang British bagi merebut kembali Pulau Pinang. Serangan itu dilancarkan pada tahun 1791. Ini adalah perang anti-British yang pertama dilancarkan oleh orang-orang Melayu. Akan tetapi sultan tidak mengerahkan massa rakyat sepenuhnya. Baginda lebih bersandar pada kekuatan lasykar laut saja.
Di pihak British pula pasukan Kapten Ligh di Pulau Pinang telah mendapat bantuan kapal-kapal perang British yang berpangkalan di India. Dengan demikian dia dapat mengalahkan pasukan-pasukan sultan. Dengan peperangan itu, bukan saja British telah dapat mempertahankan kedudukannya ke atas Pulau Pinang, bahkan mereka mara terus lalu menguasai Sungai Perai.
Kerana British berada pada kedudukan yang lebih unggul, maka pada tahun 1800 Sultan Kedah terpaksa menerima satu perjanjian baru yang lebih menghinakan yang memberikan pula Seberang Perai kepada British. Mengikut perjanjian tersebut, pajak tahunan sebanyak $30,000 untuk Pulau Pinang telah diturunkan kepada $6,000. Seberang Prai diserahkan kepada British dengan pajak sebanyak $4,000.
Dengan itu Pulau Pinang dan Seberang Perai telah menjadi tanah jajahan langsung British dengan bayaran pajak hanya $10,000 saja setahun. Dari tapak inilah penjajah British terus merancangkan untuk menguasai negeri-negeri Melayu satu demi satu.
No comments:
Post a Comment